Home > Rawatan > RAWATAN KHUSUS BERHENTI MEROKOK DI MADINATUL ASRAR

RAWATAN KHUSUS BERHENTI MEROKOK DI MADINATUL ASRAR

RAWATAN KHUSUS BERHENTI MEROKOK DI MADINATUL ASRAR

Panduan ini dibahagikan kepada empat bahagian:

  1. Membuat Keputusan berhenti merokok.
  2. Membuat persediaan berhenti merokok.
  3. Mulakan berhenti merokok.
  4. Mengekalkan status tidak merokok.

Ingatlah berhenti merokok adalah suatu langkah yang terbaik yang pernah anda ambil dalam hidup anda. Ianya langkah yang bijak lagi menguntungkan bagi diri anda dan juga keluarga anda yang tercinta.

MEMBUAT KEPUTUSAN BERHENTI MEROKOK

Kenapa anda membuat keputusan untuk berhenti merokok?. Mengetahui semua sebab-sebab untuk berhenti merokok akan mendorong anda lebih bersemangat untuk berjaya. Terdapat banyak sebab dan faedah untuk membuang tabiat merokok.

MELINDUNGI ORANG LAIN.
Apabila anda merokok, orang yang berada di sekeliling anda turut juga menyedut asap rokok yang datang dari rokok yang anda hisap. Ini dinamakan merokok secara pasif. Ia boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung, penyakit saluran pernafasan dan penyakit lelah di kalangan bukan perokok ini sama seperti mereka yang merokok. Merokok secara pasif adalah berbahaya kepada kanak-kanak.

MENJADI TELADAN YANG BAIK.
Sekiranya anda mempunyai keluarga, anda menjadi contoh ikutan atau ” role model ” kepada ahli keluarga anda khususnya kepada anak-anak anda. Kanak-kanak lebih cenderung untuk merokok sekiranya salah seorang atau kedua-dua ibu bapa mereka merokok.

ANAK-ANAK LEBIH SIHAT.
Kanak-kanak yang mempunyai ibubapa yang merokok adalah lebih kerap menghidapi penyakit penyakit saluran pernafasan seperti pneumona, jangkitan telinga dan lain-lain. Mereka juga lebih kerap mengalami gangguann iritasi pada mata, hidung dan tekak, dan mudah mendapat gejala pernafasan kronik seperti batuk dan kahak.

MENINGKATKAN KECERGASAN.
Merokok menjejaskan kecergasan anda dan membuat anda cepat letih dan hilang stamina ketika bersenam, berjogging, berjalan dan pergerakkan berat yang lain.

MENINGKATKAN DERIA RASA DAN HIDU.
Apabila anda berhenti merokok keupayaan deria untuk merasa dan menghidu akan meningkat dan kembali pulih seperti sediakala sama ketika anda belum menjadi perokok.

KULIT LEBIH SIHAT.
Merokok mengakibatkan kulit tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, oleh itu sel-sel baru tidak dapat membentuk dengan sempurna. Perokok biasanya cepat beruban, kulit tidak berseri dan cepat berkedut terutamanya di sekeliling mata dan mulut.

NAFAS LEBIH SEGAR.
Nafas akan lebih segar dan tidak berbau busuk apabila anda berhenti merokok.

GIGI LEBIH PUTIH.
Merokok mengotorkan gigi anda. Ia menyebabkan gigi anda berwarna kuning berkarat dan menjejaskan senyuman anda.

RAMBUT DAN PAKAIAN TIDAK BERBAU BUSUK.
Asap rokok meninggalkan kesan bau busuk pada rambut dan pakaian anda. Anda akan dapat merasakan perbezaannya apabila anda berhenti merokok.

MEJIMATKAN WANG.
Perokok yang menghisap rokok sekotak (20 batang) dalam sehari boleh menjimatkan wang lebih kurang RM 1500.00 setahun.

MELINDUNGI ALAM SEKITAR.
Asap rokok mencemarkan udara dan alam sekitar. Rokok juga menyebabkan beberapa kebakaran yang boleh dielakkan.

KESUBURAN MENINGKAT BAGI LELAKI.
Kajian menunjukkan kesan daripada amalan merokok boleh menyebabkan kelainan pada sperma dari segi mobiliti atau keupayaan bergerak, struktur tidak normal dan juga bilangan sperma yang berkurangan.

KELAKIAN BERKURANGAN.
Merokok boleh menyebabkan impoten atau mati pucuk. Ini ialah kesan langsung ke atas keupayaan mendapatkan ereksi atau ketegangan pada alat kelamin yang terjejas akibat pembuluh darah pada alat kelamin tersebut menjadi lemah.

MEMBUAT PERSEDIAAN BERHENTI MEROKOK
Anda mungkin merasa bahawa berhenti merokok ini mempunyai kebaikan dan keburukan pada diri anda. Perasaan ini memang sesuatu yang lumrah setiap kali kita membuat sesuatu keputusan yang paling penting dalam kehidupan kita. Setelah mengenalpasti sebab-sebab anda berhenti merokok, fikirkan juga perkara-perkara yang mungkin menghalang anda daripada berhenti merokok. Contohnya , ada perokok yang bimbang akan mengalami naik berat badan atau gejala ” withdrawal ” atau gian. senaraikan pula faktor-faktor yang anda rasakan mungkin menghalang niat anda untuk berhenti merokok.
Sekiranya anda merasa sangsi untuk meneruskan niat anda untuk berhenti merokok, yakinkan diri anda bahawa kesangsian itu boleh diatasi. Sentiasa ingatkan diri anda akan mendapat kebaikan dan faedah yang akan anda kecapi dengan berhenti merokok dan bersedialah untuk berhenti merokok.
Sekiranya anda telah benar-benar bersedia untuk berhenti merokok, kemungkinan anda berjaya adalah lebih cerah. Bagi membantu anda bersedia untuk berhenti merokok, anda bolehlah mengambil langkah-langkah yang dinyatakan di bawah bagi menjayakan hasrat anda untuk berhenti merokok;

Memahami bila dan kenapa anda merokok.
Ubah kebiasaan merokok.
Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok.
Dapatkan sokongan.
Rancang kehidupan harian tanpa merokok.

1. MEMAHAMI BILA DAN KENAPA ANDA MEROKOK.
Apabila anda mengetahui kenapa anda merokok, anda boleh merancang cara mana melalui kehidupan biasa tanpa merokok. Sebab kenapa anda merokok biasanya bergantung rapat dengan masa atau tempat, dengan siapa kita bersama atau perasaan yang dirasai. Dengan mengetahui kenapa dan bila anda akan berhenti merokok, memudahkan anda bersedia menghadapi masa-masa tersebut ketika mana desakan atau keinginan intuk merokok itu timbul.
Simpanlah sesuatu catatan harian atau diari mengenai amalan merokok anda untuk beberapa hari. Bagi setiap kali anda merokok. tuliskan masa anda merokok, keadaan ketika mana anda berada dan sebab anda merokok. Buatkan suatu tanda ketika mana keinginan untuk merokok paling memuncak.

2. UBAH KEBIASAAN MEROKOK
Adalah lebih mudah bagi anda berhenti merokok sekiranya anda dapat mengatasi kebiasaan merokok yang diamalkan sebelum ini. Mulakan dengan:

Ubah cara dan gaya anda merokok, hindarkan merokok pada masa yang biasanya anda merokok, pegang rokok berbeza dengan cara yang biasa, tukar jenama lain, ikatkan kotak rokok dengan getah gelang agar membukanya untuk tujuan merokok akan mendatangkan sedikit kesukaran.

Ubah situasi atau keadaan ketika mana biasanya merokok, pilihlah tempat yang tidak sesuai atau selesa untuk merokok dan bukan di tempat yang anda merasa seronok merokok.

Mula kurangkan kekerapan merokok.

3. TETAPKAN TARIKH BERHENTI MEROKOK
Adalah mustahak anda menentukan sendiri tarikh berhenti merokok. Elakkan hari-hari bilamana anda akan mengalami tekanan, sebaliknya pilihlah tarikh penting dan bermakna bagi diri anda seperti hari lahir, hari ulangtahun perkahwinan dan sebagainya. Pastikan anda betul-betul bersedia untuk berhenti merokok. Pada hari anda akan berhenti merakok itu rancanglah sesuatu untuk mengubah perkara-perkara rutin yang biasa anda lakukan supaya keinginan untuk merokok tidak timbul. Berilah masa secukupnya bagi menyiapkan diri anda untuk membuat persediaan berhenti merokok, tetapi jangan sekali-kali membatalkan niat anda untuk berhenti merokok.

4. DAPATKAN SOKONGAN
Maklumkan kepada keluarga, teman rapat dan rakan sekerja bahawa anda telah berhenti merokok dan dapatkanlah sokongan mereka. Bahkan adalah lebih baik sekiranya anda mengajak rakan anda yang merokok supaya bersama-sama untuk berhenti merokok agar masing-masing dapat saling menyokong. Ada baiknya jika anda dapat menentukan calun rakanyang boleh menyertai anda berhenti merokok.

5. RANCANG KEHIDUPAN HARIAN TANPA MEROKOK
Semasa melalui kehidupan harian tanpa merokok anda perlu merancang caramana mengatasi keadaan atau situasi bilamana anda biasanya merokok, contohnya setiap kali selepas minum kopi atau selepas makan dan sebagainya. Cuba alih perhatian anda kepada sesuatu yang bukan kebiasaan yang anda lakukan. Perancangan yang teliti membolehkan anda melalui kehidupan harian dengan yakin dan tenang. Lalui setiap jam dengan penuh kesabaran dan kesungguhan.

MULAKAN BERHENTI MEROKOK

YAKIN DIRI
Anda pasti boleh melakukannya. Langkah-langkah berikut boleh membantu anda memulakan penghidupan baru sebagai seorang bukan perokok.

Langkah 1 :BERSIHKAN
Buangkan semua rokok yang ada dalam simpanan. Sembunyikan atau buangkan saja bekas abuk rokok dan pemetik api yang ada dalam rumah, dalam kereta dan di tempat kerja.

Langkah 2 :BUAT NOTA PERINGATAN DAN GALAKKAN
Buat suatu nota menyatakan bahawa anda sekarang bukan seorang perokok. Lekatkan nota tersebut di setiap bahagian dalam rumah, kereta atau tempat kerja anda, terutama di sudut di mana anda biasanya merokok. Buatkan juga nota tersebut dalam bentuk kad kecil yang boleh dimasukkan dalam saku baju untuk dibuat peringatan.

Langkah 3 :LAKUKAN SAHAJA
Untuk kebanyakkan orang cara yang paling berkesan ialah dengan berhenti secara mengejut atau cara ” cold turkey “. Pada hari yang telah anda tetapkan untuk berhenti merokok, anda terus tidak merokok. Sebaiknya, beberapa minggu sebelum tiba hari yang ditetapkan anda telah mula mengurangkan sedikit demi sedikit bilangan rokok yang dihisap.

Langkah 4 :TUMPUKAN PERHATIAN PADA HARI YANG DILALUI.
Tumpukan perhatian anda pada hari yang anda sedang lalui tanpa merokok. Berilah pujian kepada diri anda dan berikan tahniah kepada diri anda setiap kali anda berjaya mengatasi keinginan untuk merokok.

Langkah 5 :BERFIKIRLAH SECARA POSITIF.
Fikirkan diri anda sebagai seorang bukan perokok sebaik sahaja anda mula berhenti merokok dan sentiasa peringatkan diri anda sedemikian. Sekiranya ada orang mempelawa anda rokok, katakanlah terima kasih, saya tidak merokok. Ingatlah bahawa anda telah membuat pilihan positif untuk tidak merokok.

Langkah 6 :DAPATKANLAH SOKONGAN.
Berikanlah peringatan kepada keluarga, kawan rapat dan rakan sekerja yang anda telah berhenti merokok dan memerlukan kerjasama serta sokongan daripada mereka. Mintalah rakan-rakan anda yang merokok supaya tidak mempelawa atau merokok berhampiran anda.

Langkah 7 :MELAWAN KEINGINAN MEROKOK.
Keinginan untuk merokok akan kembali sebaik sahaja anda mula berhenti merokok. Ini memang biasa berlaku, terutamanya pada masa dan situasi yang lazimnya anda merokok. Ingatlah bahawa setiapkali anda berjaya melawan keinginan untuk merokok, anda telah maju kehadapan untuk mencapai status bukan perokok. Katakan pada diri anda, setiap kali anda berjaya mengatasi keinginan untuk merokok, anda akan merasa lebih yakin dan lebih berupaya untuk melawan keinginan untuk merokok pada hari-hari yang berikutnya. Lama kelamaan keinginan untuk merokok akan hilang buat selama-lamanya.

AMALAN 4M – PETUA MENGATASI KEINGINAN MEROKOK

1. MELENGAHKAN-LENGAHKAN
Lengahkan tindakbalas ke atas keinginan merokok seperti melambat-lambatkan mencari rokok. Seandainya rokok ada di tangan, jangan nyalakan terus, tunggu sekurang-kurangnya 5 minit. Keinginan untuk merokok ini kesudahannya akan hilang juga. Katakan pada diri anda ” nanti ” setiap kali anda ingin merokok.

2. MENARIK NAFAS PANJANG.
Tariklah nafas panjang-panjang tiga kali dengan perlahan-lahan.

3. MINUM AIR.
Minum air banyak-banyak, sebaik-baiknya air galian atau air masak suam. Jangan minum air yang mengandungi kafin seperti kopi atau teh, kerena minuman ini biasanya membuatkan anda lebih teringin merokok seepas minum.

4. MEMBUAT SESUATU.
Buatlah sesuatu yang boleh mengalehkan fikiran anda daripada merokok. Contohnya bersiar-siar, makan angin, membaca buku, membuat silangkata, berkebun dan bersenam.

FAEDAH YANG ANDA PEROLEHI SEBAIK SAJA ANDA BERHENTI MEROKOK

Selepas beberapa jam sistem peredaran darah akan mulai bersih daripada bahan nikotin. Dalam tempoh 2 hari, hasil sampingan bahan nikotin akan lenyap dari badan.

Selapas 6 jam, nadi akan lebih perlahan ke paras yang lebih normal dan tekanan darah akan menurun sedikit. Ini amat baik untuk jantung anda.

Selepas 24 jam, karbon monoksida iaitu salah satu jenis gas beracun akan mula lenyap dari tubuh, membolehkan lebih banyak oksigen diserap oleh sel-sel dalam tubuh. Paru-paru akan dapat berfungsi dengan lebih baik.

Selepas 2 hari, deria rasa pada lidah akan bertambah baik. Anda akan dapat menikmati kelazatan makanan, lebih dibandingkan semasa anda merokok. Deria menghidu akan pulih seperti sediakala. Gigi, rambut, jari, pakaian dan nafas akan menjadi lebih bersih.

Selepas beberapa minggu, silia dalam saluran pernafasan yang berfungsi membersihkan bahan-bahan kotoran seperti habuk, debu dan sebagainya akan kembali pulih dan paru-paru dapat berfungsi dengan lebih baik.

Selepas 2 bulan, peredaran darah ke seluruh tubuh terutama ke bahagian periferi seperti jejari tangan dan kaki mejadi lebih efisien.

Selepas 3 bulan, kedua-dua lelaki mahupun wanita menjadi lebih subur.

GEJALA ” WITHDRAWAL ” ATAU GIAN.
Sekiranya anda ketagih dengan rokok tentunya tubuh anda telah terbiasa dengan nikotin yang mana ketiadaan dalam tubuh anda akan menyebabkan anda mengalami gian atau gejala “withdrawal”. Gejala fizikal yang berlaku ke atas diri anda merupakan suatu tanda positif bahawa tubuh anda kembali pulih. Gejala-gejala ini akan hilang dalam tempoh 3 hingga 14 hari.

Batuk-batuk menandakan mekanisma pembersihan saluran pernafasan anda berfungsi seperti sediakala.

Pening-pening sedikit menandakan tubuh anda mula menyesuaikan diri dengan paras oksigen yang lebih berbanding semasa menjadi perokok dahulu.

Sakit kepala boleh terjadi apabila tekanan darah menurun ke paras normal. Ini berlaku selepas tiga hari berlalu.

Rasa kebas dan sengal-sengal kadang-kadang boleh terjadi pada otot. Ini berlaku kerana peredaran darah menjadi lebih lancar. Lakukan senaman untuk melancarkan lagi sistem peredaran darah.

Gangguan sistem penghadaman seperti sembelit, merasa loya atau sebu perut kadang-kadang boleh terjadi tetapi cuma untuk beberapa hari sahaja. Gejala-gejala lain seperti gangguan tidur, gangguan konsentrasi dan perasaan resah akan juga berlaku. Gejala-gejala ini tidak berpanjangan dan boleh diatasi dengan mudah.

Sekiranya tidak boleh mengatasi gejala “withdrawal” ini berjumpalah dengan doktor anda untuk mendapatkan rawatan nikotin gantian.

MENGEKALKAN STATUS BUKAN PEROKOK.
Sekarang anda telahpun berhenti merokok. Tugas seterusnya yang mana lebih mencabar ialah bagi anda untuk terus mengekalkan status bukan perokok anda. Terdapat ramai orang yang mengambil sikap tidak berhati-hati selepas beberapa bulan berhenti merokok sehingga tanpa disedari mereka kembali merokok. Jangan biarkan perkara ini berlaku ke atas diri anda. IKUTI PETUA INI…

BERFIKIRAN SECARA POSITIF.
Seperti menjaga keadaan fizikal, keadaan mental anda perlu disesuaikan. Fikirkan diri anda sebagai bukan perokok. Sentiasa peringatkan diri anda sebab-sebab kenapa anda berhenti merokok. Tumpukan perhatian kepada faedah yang diperolehi dengan tidak merokok. Ingatlah bahawa semua gejala “withdrawal” akan lenyap dan ini merupakan suatu petanda baik yang tubuh anda sedang pulih daripada ketagihan rokok. Katakan saya boleh….

LAWAN FIKIRAN NEGATIF.
Jangan biarkan fikiran negatif menghancurkan niat anda untuk terus kekal sebagai bukan perokok. Jangan sekali-kali mencuba untuk kembali merokok. Ingatkan petua 4M bagi mengatasi setiap fikiran negatif yang boleh mendorong anda merokok.

BERI GANJARAN UNTUK DIRI ANDA.
Kejayaan berhenti merokok merupakan suatu pencapaian yang layak diberi pujian dan ganjaran. Anda harus berasa bangga yang anda sekarang bukan lagi seorang perokok. Gunakanlah wang yang berjaya anda jimatkan untuk membeli sesuatu yang anda idamkan selama ini atau gunakan wang itu untuk melancung atau sebagainya yang berfaedah kepada diri anda.

MENJAGA BERAT BADAN.
Sebahagian orang berjaya berhenti merokok dan tidak menghadapi masalah berat badan, tetapi sebahagian yang lain berjaya berhenti merokok tetapi mengalami masalah kenaikkan berat badan. Secara purata, berat badan mereka meningkat kira-kira 2 kg. Ini adalah kerana deria rasa dan deria bau yang kembali pulih menyebabkan seseorang itu merasai makanan yang dimakan lebih sedap sehingga ia makan lebih banyak daripada biasa.
Dengan mengamalkan pemakanan sihat berpandukan piramid makanan dan mengamalkan senaman tiga kali seminggu selama sekurang-kurangnya 20 minit setiap kali bersenam, masalah berat badan boleh diatasi dengan berkesan.

Jika anda seorang perokok yang ingin berhenti merokok,datanglah ke Pusat Rawatan Madinatul Asrar,kami mempunyai kepakaran khusus untuk membantu anda untuk menghilangkan rasa ketagihan rokok dan seterusnya membenci rokok dengan kaedah rawatan kami yang istimewa dan unik gabungan pengubatan Spiritual dan herba khusus Anugerah Alam.Insya Allah.

Categories: Rawatan
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: